Tuesday 8 September 2015

Hari pertama ke taska

Tanggal 11 May 2015, merupakan hari pertama Syakirah dan Irfan masuk ke Taska Litte Star Playschool di Taman Hartamas, Telipok Sabah. Aku menghantar Syakirah dan Irfan seminggu lebih awal dari tarikh aku sepatutnya melaporkan diri di Pejabat baru di kawasan KKIP. Alhamdulillah, rezeki Allah nak bagi. Tidak aku terfikir satu hari nanti aku akan kembali bekerja, Begitu cantik perancangan dan ketentuan Allah. Hampir 3 tahun menjadi suri rumah tangga. Menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan anak-anak yang masih kecil dan tidak tahu apa.

ALHAMDULILLAH.

Berbalik kepada kisah tadi, buat pertama kali aku berjauhan dengan Syakirah dan Irfan. Pertama kali menghantar Syasya dan Irfan, aku bersendirian memandangkan suami outstation di Sarawak. Si kakak dan adik meraung sekuatnya. Aduh luruh hati. Sejak dari bayi asyik melekat dibadan. Semua benda sekecil-kecil perkara di laporkan kepada aku, tetapi kini mereka pertama kali di bawah penjagaan pengasuh yang tidak mereka kenali. Mungkin baik mahupun garang, tegas ataupun penyayang.. Aku berserah segalanya kepada Allah, kerana apapun ini lah taska terbaik. Dengan jarak yang dekat dengan rumah dan pejabat. Harga yang diberikan pun berpatutan. RM550 bagi dua orang anak. 

Alhamdulillah.

Balik ke rumah.Kosong. Pertama kali sejak tiga tahun aku berasa sangat kosong dan sunyi. Aku baring di katil dan berpusing-pusing..Hahaha..Ya Allah terasa ringan sedikit. Sudah lama aku tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Bagi seorang surirumah seperti aku, setiap hari sangat sibuk. Dari mula membuka mata, pelbagai perancangan perlu aku atur dan siapkan sambil menjaga anak-anak. Bukan mudah.Orang ramai sering beranggapan menjadi surirumah agak senang. Menjaga anak, memasak, mencuci pakaian, menjemur pakaian dan sebagainya. Terlalu banyak untuk disenaraikan. Tetapi setiap perincian tugas, tiada siapa yang tahu. Karenah anak-anak, masalah-masalah berbangkit dan kerja yang berterusan. Masa sangat terhad dan surirumah pun perlu masa berehat.

Pada hari ini merupakan bulan ke-empat Syasya dan Irfan ke taska. Aku lihat, mereka agak serasi dengan pengasuh di sana. Teacher Jack, Princher dan Teacher Ann. Aku cuba merapatkan diri dengan pengasuh di taska supaya senang untuk aku memantau keadaan mereka di sekolah. Ada satu ketika, di minggu ketiga mereka di sana aku perasan anak-anak sering mendapat gigitan nyamuk. Aku menghubungi pengusaha taska dan berbincang bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Syakirah dan Irfan mempunyai kulit yang sensetif. Jarang sekali mereka digigit serangga, nyamuk mahupun semut di rumah kerana aku sentiasa memastikan persekitaran rumah bersih dan terjaga. Walaubagaimanpun, aku perlu bertolak ansur dengan keadaan taska, dan bilangan pelajar mereka. Aku pasti, mereka akan cuba memastikan persekitaran yang selesa untuk anak-anak di bawah jagaan mereka. Alhamdulillah. Penguasaha taska mengambil tindakan. Aku lihat, selepas teguran dibuat, kurang sudah lebam-lebam gigitan serangga pada Irfan terutamnya.

Sejak bersekolah aku lihat Irfan makin nakal..Dia suka menendang, mengolok aku dan kakak Syasya, dan semakin panjang akal.Ada sahaja perangainya yang cuba untuk menyakat si kakak. Kadang-kadang, Irfan sengaja berdiri di depan TV sementara Syakirah tengah kusyuk menonton kartun. Pada masa yang lain, dia sentiasa berebut permainan dan buku yang di ambil Syakirah. Dan paling penting, dia sentiasa ingin aku fokus pada dia seorang. Kesian Syakirah, kakak yang banyak mengalah. Walaupun kadang-kadang Syakirah pandai meletup dan memberontak. Irfan pun sudah setahun sepuluh bulan. Cakap pun makin petah. Setiap permintaan nya perlu dipenuhi serta merta atau dia akan merengek dan menendang. Irfan sekarang selalu memukul-mukul kecil badan aku, walaupun perlahan tetapi konsisten menyebabkan aku rasa lenguh dan akhirnya bertukar marah. Walaubagaimanapun, aku cuba menasihat Irfan agak lebih bersabar dan cuba sebaik yang mungkin untuk memberitahu apa yang diingininya. Kerana, kadang-kadang aku tidak faham. 

Sebaliknya Syakirah seorang yang disayangi di sekolah. Teacher Jack memaklumkan kepada aku, Syasha sentiasa mendapat keistimewaan kerana, dia sentiasa menasihati kawan-kawan di sekolah.

”Dengar cakap teacher, nanti teacher marah”.
"Kita mesti kongsi mainan, kalau main sama-sama kita happy" dan banyak lagi. 

Begitulah nasihat yang sering aku beri kepada Syakirah di rumah. Dan sekarang dia pula menasihati adik dan rakan sebaya.Haha..Kecil-kecil sudah jadi seperti pengawas. Tahniah Syakirah, semoga besar nanti akan jadi seorang yang solehah dan berguna dalam masyarakat. Begitu juga harapan Ibu kepada Irfan, semoga besar nanti jadi hamba Allah yang beriman dan beramal soleh.

AMIN